TEMERLOH, 25 FEBRUARI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan dan pujian kepada seluruh rakyat serta Kerajaan Negeri ini atas kejayaan Pahang mencatat skor tertinggi dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.
Paduka Baginda bertitah, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan yang wajar dijadikan motivasi untuk terus memelihara keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Ini seharusnya satu pujian kepada seluruh rakyat negeri Pahang dan juga kerajaan yang mana telah berjaya mengharmonikan dan menegakkan semangat perpaduan di negeri Pahang ini. Saya harap ini dapat diteruskan, semangat harmoni… semangat perpaduan terus kekal buat selama-lamanya.
“Di dalam ucapan saya semalam pun, seri perpaduan ini adalah satu aset khazanah kita. Sama-samalah kita menerapi semangat perpaduan ini,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat ke sesi persembahan taklimat pembangunan daerah Temerloh yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan barisan ketua-ketua jabatan.
Negeri Pahang mencatat skor 0.817 dalam IPNas 2025, sekali gus meletakkannya sebagai negeri dengan tahap perpaduan paling kukuh di negara ini, mengatasi Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791) yang turut merekodkan pencapaian tinggi dan konsisten.
Menurut laporan IPNas 2025, faktor utama yang mempengaruhi tahap perpaduan negara ialah komponen Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) dengan sumbangan sebanyak 69.7 peratus. -PAHANGMEDIA
