KUANTAN, 07 APRIL 2026 : Lipis sekali lagi dinobatkan sebagai antara 10 bandar yang menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2026 hari ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menyenaraikan daerah Raub sebagai satu lagi daerah di negeri ini yang menerima anugerah berkenaan.
Turut tersenarai adalah Bandar Simpang Renggam, Kluang dan Mersing di Johor, Kuala Terengganu, Permaisuri, dan Marang di Terengganu, Dabong di Kelantan, dan Ranau di Sabah.
Pemilihan ini adalah berdasarkan pengukuran Tahap Kebahagiaan Bandar di Malaysia diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ia juga diukur melalui sistem MURNInets yang berfungsi mengukur dan menilai kemampanan sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui satu set petunjuk bandar yang telah ditetapkan.
Selain itu, KPKT memaklumkan, pemilihan berkenaan juga berdasarkan penilaian terhadap tahap kesejahteraan penduduk serta kualiti hidup di kawasan tersebut, selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan sejahtera.
Bandar-bandar berkenaan juga turut mencerminkan keseimbangan pembangunan di antara antara bandar kecil dan sederhana di pelbagai negeri, yang mana menunjukkan bahawa tahap kebahagiaan tidak hanya tertumpu di bandar besar sahaja.
Pengiktirafan ini juga selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pembangunan yang inklusif, serta memastikan kemudahan asas, persekitaran hidup dan keseimbangan sosial penduduk terus diberi perhatian.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Nga Kor Ming berkata, Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2026 mencatatkan peningkatan dengan skor 6.05 berbanding 5.96 sebelum ini berdasarkan World Happiness Report 2026.
Katanya, tahap kebahagiaan rakyat Malaysia juga direkodkan sebanyak 81 peratus yang mana meningkat lima peratus berbanding tahun 2025 dan peningkatan itu membuktikan rakyat Malaysia kini berasa lebih bahagia walaupun berdepan pelbagai cabaran global. -PAHANGMEDIA
