PAHANG KEKAL CEMERLANG DALAM LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA, BUKTI TAHAP KECEKAPAN TADBIR URUS KERAJAAN NEGERI
KUANTAN, 07 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi menerima pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara apabila Penyata Kewangan Tahun 2024 diberi Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion).
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pengiktirafan ini membuktikan tahap kecekapan tadbir urus serta pengurusan kewangan Kerajaan Negeri sejajar dengan semangat Aspirasi Pahang 1st.
“Kejayaan yang sama diterima pada tahun 2023, membuktikan kecekapan tadbir urus serta pengurusan kewangan Kerajaan Negeri yang berteraskan akauntabiliti, ketelusan dan integriti, sejajar dengan semangat Aspirasi Pahang 1st.
“Pencapaian ini menjadi pengiktirafan terhadap komitmen berterusan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam membina Pahang yang makmur, berdaya saing dan berintegriti,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengukuhan disiplin fiskal, kecekapan pengurusan kewangan, dan memanfaatkan hasil negeri demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan serta memastikan hasil negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA