KDPB SULTAN PAHANG, KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG ZAHIR UCAPAN TAHNIAH ATAS PELANTIKAN DATO' INDERA NAZRI SEBAGAI SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI BAHARU
KUANTAN, 8 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada YH Dato’ Indera Nazri Abu Bakar yang dilantik sebagai YB Setiausaha Kerajaan Pahang baharu berkuatkuasa hari ini.
Paduka Baginda berdua bertitah pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengalaman dan dedikasi Dato' Indera Nazri untuk terus menjalankan tanggungjawab serta memikul amanah yang diberikan dengan penuh kebijaksanaan.
Paduka Baginda berdua berharap Dato' Indera Nazri dapat memanfaatkan pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki untuk terus membawa pembangunan negeri Pahang ke arah yang lebih gemilang.
Kepimpinan yang penuh dengan kebijaksanaan, ketegasan serta komitmen yang tinggi amat diperlukan dalam memastikan perkhidmatan awam negeri ini terus berfungsi dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat.
Semoga Allah SWT memberi petunjuk dan kekuatan kepada YH Dato' Indera Nazri untuk menjalankan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan keberkatan.
Paduka Baginda berdua turut berdoa agar segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan akan membawa manfaat yang besar kepada negeri Pahang serta memartabatkan lagi nama Pahang di persada negara.
Sumber Kesultanan Pahang
#MajuTerusPahang
#Pahang1st