29 Dis – Bertempat di Ruang Legar tingkat atas, Bangunan Majlis Daerah Rompin, Satu majlis ringkas penyampaian bonus dan saguhati kepada kakitangan Majlis Daerah Rompin telah diadakan. Bonus dan saguhati ini diberi berikutan kejayaan yang terhasil dari perancangan dan usaha-usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan dan juga komitmen tinggi yang diberikan oleh kakitangan dalam melaksanakan arahan. Bonus dan saguhati telah disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin iaitu YH. Dato' Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha.
Selesai upacara penyampaian bonus dan saguhati, majlis diteruskan dengan penyampaian cek bernilai Rm 30,000 oleh Dato' Yang Dipertua kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Rompin (KESUMA) iaitu Tuan Haji Sudin Bin Hasyim.Duit ini adalah merupakan sumbangan Majlis Daerah Rompin kepada KESUMA bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Kelab mengucapkan ribuan terima kasih diatas sumbangan yang diberikan.
Majlis diteruskan dengan ucapan perpisahan dan amanat oleh Dato' Yang Dipertua dimana beliau akan berpindah dan bertugas di Daerah Maran mulai januari 2015. Selesai ucapan, majlis dipaparkan dengan tayangan video kenang-kenangan yang berkaitan dengan Dato' YDP.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati perpisahan daripada Majlis Daerah Rompin kepada Dato' YDP dan sesi bergambar kenang-kenangan bersama YDP. Kami warga Majlis Daerah Rompin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan diatas segala budi dan jasa YH. Dato' Syed Ahmad Fuad bin Syed Taha taburkan disepanjang perkhidmatan beliau selaku Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin.
Majlis yang bermula jam 9.00 pagi ini tamat pada jam 10.30 pagi.